Tidak Bertentangan Dengan Ilmu Pengetahuan Yang BenarAqidah Islam tidak bertentangan dengan ilmu pengetahuan yang benar malah mendukung, menganjurkan dan menyerukannya kepada manusia. Ilmu pengetahuan yang bermanfaat telah ditunjukkan oleh Al Quran dan As Sunnah. Kesepaduan ilmu yang telah ditunjukkan di dalam aqidah Islam terbukti apabila kajian serta fakta sains hasil penyelidikan ilmiah telah membuktikan kebenaran Al Quran dan As Sunnah.
Dalam soal aqidah Islamiah, pengetahuan yang diterima adalah pengetahuan yang berdasarkan kepada ‘Ilmu. ‘Ilmu ini bermaksud satu pencapaian, satu pemahaman, pengertian dan penerimaan yang putus yang tidak ada sedikit pun keraguan.
Ilmu tentang La Ilaha Illallah itu ialah ilmu yang menepati kebenaran yang disampaikan oleh para ‘anbiya’ dan mesti didasarkan kepada dalil. Oleh yang demikian, aqidah islamiah terpelihara dari unsur-unsur dzan, syak, dan waham. Malah, unsur-unsur tahyul, mistik, khurafat dan mitos jauh sekali bertentangan dengan aqidah Islamiah yang shahih dan benar.
Universal, Sesuai Dengan Semua Zaman, Tempat Dan KeadaanSeorang mukmin akan diikat dengan satu ikatan keyaqinan, yang mengikat dirinya, pemikiran, hati sehingga kehidupannya menjadi terarah dan terpimpin.
Keyakinan dan keimanan ini didasarkan pada rukun-rukun iman (arkanul iman) seterusnya menggambarkan satu kefahaman yang sejagat atau universal di mana setiap peribadi manusia berhak menyertai ‘aqidah ini dan berada dalam ikatannya.
Ia adalah rukun-rukun yang tidak terikat dengan benda, masa, bangsa ataupun tempat. Malah sirah telah menggambarkan bahawa pelbagai bangsa bermula dari generasi terdahulu sehingga kini telah menjadikan aqidah Islamiah sebagai pegangan dan sumber penggerak dalam kehidupan.
Aqidah Tauhid yang REVOLUTIONARYAqidah Islamiah dikatakan sebagai aqidah Tauhid yang revolutionary kerana ia mengubah / merubah seluruh pemikiran dan merubah diri manusia. Sekiranya sebelum beriman, manusia melihat ‘alam tabie’ (nature) dan segala macam benda sebagai mempunyai kekuasaan dan menyembah bermacam-macam perkara, tetapi setelah mereka menerima “La Ilaha Illallah”, mereka menolak seluruh yang mereka pandang sebelum ini.
Ini bererti dengan penerimaan kalimah Tauhid, manusia telah melakukan satu revolusi, satu rombakan dan satu perubahan yang menyeluruh dalam diri mereka, dalam pemikiran, sikap dan peribadi. Lantas mereka bebas dari ikatan kebendaan duniawi.
Aqidah Islam Yang PraktikalAqidah Islamiah bukan sahaja bersifat ‘aqliah (yang diterima aqal), tetapi juga bersifat nafsiah(kejiwaan), dan amaliyyah (praktikal).
Aqidah Islamiah itu bukan merupakan aqidah yang beku yang hanya merupakan perbendaharaan hati. Ia mestilah dijelaskan dan dijelmakan di dalam tindakan dan pekerjaan seseorang. Ia juga merupakan satu keyaqinan yang terukir yang telah tersirat kukuh di dalam hati dan dibuktikan dengan ‘amal. ‘Amal itu merupakan penghayatan kepada keimanan dan ‘aqidah.
Rujukan : Aqidah & Perjuangan (Ust Haji Fadzil Noor)