Nabi Muhammad merupakan Pemimpin dan Pembina keagungan Islam dimana Baginda SAW telah mengasaskan pemerintahan Islam yang pertama di Madinah dengan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, menjinak dan merapatkan kembali suku Kaum Aus dan Khazraj, supaya semua muslimin menuju ke arah satu haluan, bersatu di bawah panji-panji dan berpegang teguh dengan tali ALLAH.
Penyatuan Aus dan Khazraj
Aus dan Khazraj merupakan penduduk asal Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, mereka sentiasa bermusuhan antara satu sama lain sehingga mengorbankan banyak nyawa. Peperangan Bua'th merupakan perang yang berlarutan di antara kedua-dua puak tersebut. Ia berpunca dari masalah kepimpinan kerana kedua-duanya ingin menerajui pentadbiran kota Madinah. Nabi Muhammad SAW sedar jika masalah ini tidak diselesaikan, keadaan ini tidak akan aman. Oleh itu, Nabi berusaha menyatukan kedua-dua pihak tersebut dan menamakan mereka sebagai orang Ansar. Nabi menanamkan sifat-sifat Iman kepada mereka sehingga mereka sanggup melupakan permusuhan yang berlaku antara mereka.
Semasa kedua-dua suku pernah berhimpun dan memegang senjata, Rasulullah SAW bersabda : “ Wahai Kaum Muslimin, (Takutlah kepada) Allah ! (Takutlah kepada) Allah ! apakah seruan jahilliyah (muncul lagi) , sedangkan aku masih berada di tengan-tengah kalian?! Apakah setelah Allah menunjuki kalian kepada Islam, memuliakan kalian, menghapuskan cara jahiliyyah dari kehidupan kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran, dan menjinakkan hati kalian, kalian kembali lagi kepada kekafiran? ”
Akhirnya mereka menyedari akan tipu daya syaitan dan musuh-musuh Islam, lantas meletakkan senjata, menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Mereka pulang bersama Rasulullah dengan penuh ketaatan. Dengan ukhuwah, kebencian yang dilandasi fanatisme menjadi luruh.
Penyatuan Ansor dan Muhajirin
Dugaan yang dihadapi oleh kaum Muslimin di Makkah ialah penyiksaan, hamun dan cela yang dihamburkan oleh kaum Musyrikin. Apabila mereka diberi keizinan untuk berhijrah, mereka menghadapi dugaan meninggalkan tanah air, harta benda, rumahtangga dan alat-alat kelengkapan masing-masing. Mereka meninggalkan segala-galanya untuk menyelamatkan agama.
Di Madinah, golongan Ansar telah menanti ketibaan mereka dan memberi segala pertolongan, keperluan dan kemudahan bagi memulakan kehidupan baru di Madinah. Golongan Ansar ini dengan penuh ikhlas menyambut kehadiran Muhajirin Makkah ke rumah masing-masing, memberi layanan dan pertolongan sewajibnya. Inilah contoh unggul Muslim sejati dalam mengaplikasi konsep ukhuwah Islamiyah yang menyeluruh dan saling cinta mencintai kerana Allah SWT semata-mata. Allah telah menjadikan persaudaraan dalam Islam lebih kuat dan erat daripada ikatan keturunan darah.
Firman Allah swt: (Yang bermaksud):
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Al-Hasyr: 9)
Friday, June 25, 2010
Thursday, June 24, 2010
Keistimewaan Aqidah Islamiyah

Tidak Bertentangan Dengan Ilmu Pengetahuan Yang Benar
Aqidah Islam tidak bertentangan dengan ilmu pengetahuan yang benar malah mendukung, menganjurkan dan menyerukannya kepada manusia. Ilmu pengetahuan yang bermanfaat telah ditunjukkan oleh Al Quran dan As Sunnah. Kesepaduan ilmu yang telah ditunjukkan di dalam aqidah Islam terbukti apabila kajian serta fakta sains hasil penyelidikan ilmiah telah membuktikan kebenaran Al Quran dan As Sunnah.
Dalam soal aqidah Islamiah, pengetahuan yang diterima adalah pengetahuan yang berdasarkan kepada ‘Ilmu. ‘Ilmu ini bermaksud satu pencapaian, satu pemahaman, pengertian dan penerimaan yang putus yang tidak ada sedikit pun keraguan.
Ilmu tentang La Ilaha Illallah itu ialah ilmu yang menepati kebenaran yang disampaikan oleh para ‘anbiya’ dan mesti didasarkan kepada dalil. Oleh yang demikian, aqidah islamiah terpelihara dari unsur-unsur dzan, syak, dan waham. Malah, unsur-unsur tahyul, mistik, khurafat dan mitos jauh sekali bertentangan dengan aqidah Islamiah yang shahih dan benar.
Universal, Sesuai Dengan Semua Zaman, Tempat Dan Keadaan
Seorang mukmin akan diikat dengan satu ikatan keyaqinan, yang mengikat dirinya, pemikiran, hati sehingga kehidupannya menjadi terarah dan terpimpin.
Keyakinan dan keimanan ini didasarkan pada rukun-rukun iman (arkanul iman) seterusnya menggambarkan satu kefahaman yang sejagat atau universal di mana setiap peribadi manusia berhak menyertai ‘aqidah ini dan berada dalam ikatannya.
Ia adalah rukun-rukun yang tidak terikat dengan benda, masa, bangsa ataupun tempat. Malah sirah telah menggambarkan bahawa pelbagai bangsa bermula dari generasi terdahulu sehingga kini telah menjadikan aqidah Islamiah sebagai pegangan dan sumber penggerak dalam kehidupan.
Aqidah Tauhid yang REVOLUTIONARY
Aqidah Islamiah dikatakan sebagai aqidah Tauhid yang revolutionary kerana ia mengubah / merubah seluruh pemikiran dan merubah diri manusia. Sekiranya sebelum beriman, manusia melihat ‘alam tabie’ (nature) dan segala macam benda sebagai mempunyai kekuasaan dan menyembah bermacam-macam perkara, tetapi setelah mereka menerima “La Ilaha Illallah”, mereka menolak seluruh yang mereka pandang sebelum ini.
Ini bererti dengan penerimaan kalimah Tauhid, manusia telah melakukan satu revolusi, satu rombakan dan satu perubahan yang menyeluruh dalam diri mereka, dalam pemikiran, sikap dan peribadi. Lantas mereka bebas dari ikatan kebendaan duniawi.
Aqidah Islam Yang Praktikal
Aqidah Islamiah bukan sahaja bersifat ‘aqliah (yang diterima aqal), tetapi juga bersifat nafsiah(kejiwaan), dan amaliyyah (praktikal).
Aqidah Islamiah itu bukan merupakan aqidah yang beku yang hanya merupakan perbendaharaan hati. Ia mestilah dijelaskan dan dijelmakan di dalam tindakan dan pekerjaan seseorang. Ia juga merupakan satu keyaqinan yang terukir yang telah tersirat kukuh di dalam hati dan dibuktikan dengan ‘amal. ‘Amal itu merupakan penghayatan kepada keimanan dan ‘aqidah.
Rujukan : Aqidah & Perjuangan (Ust Haji Fadzil Noor)
Subscribe to:
Posts (Atom)
