Nabi Muhammad merupakan Pemimpin dan Pembina keagungan Islam dimana Baginda SAW telah mengasaskan pemerintahan Islam yang pertama di Madinah dengan mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, menjinak dan merapatkan kembali suku Kaum Aus dan Khazraj, supaya semua muslimin menuju ke arah satu haluan, bersatu di bawah panji-panji dan berpegang teguh dengan tali ALLAH.
Penyatuan Aus dan Khazraj
Aus dan Khazraj merupakan penduduk asal Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, mereka sentiasa bermusuhan antara satu sama lain sehingga mengorbankan banyak nyawa. Peperangan Bua'th merupakan perang yang berlarutan di antara kedua-dua puak tersebut. Ia berpunca dari masalah kepimpinan kerana kedua-duanya ingin menerajui pentadbiran kota Madinah. Nabi Muhammad SAW sedar jika masalah ini tidak diselesaikan, keadaan ini tidak akan aman. Oleh itu, Nabi berusaha menyatukan kedua-dua pihak tersebut dan menamakan mereka sebagai orang Ansar. Nabi menanamkan sifat-sifat Iman kepada mereka sehingga mereka sanggup melupakan permusuhan yang berlaku antara mereka.
Semasa kedua-dua suku pernah berhimpun dan memegang senjata, Rasulullah SAW bersabda : “ Wahai Kaum Muslimin, (Takutlah kepada) Allah ! (Takutlah kepada) Allah ! apakah seruan jahilliyah (muncul lagi) , sedangkan aku masih berada di tengan-tengah kalian?! Apakah setelah Allah menunjuki kalian kepada Islam, memuliakan kalian, menghapuskan cara jahiliyyah dari kehidupan kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran, dan menjinakkan hati kalian, kalian kembali lagi kepada kekafiran? ”
Akhirnya mereka menyedari akan tipu daya syaitan dan musuh-musuh Islam, lantas meletakkan senjata, menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Mereka pulang bersama Rasulullah dengan penuh ketaatan. Dengan ukhuwah, kebencian yang dilandasi fanatisme menjadi luruh.
Penyatuan Ansor dan Muhajirin
Dugaan yang dihadapi oleh kaum Muslimin di Makkah ialah penyiksaan, hamun dan cela yang dihamburkan oleh kaum Musyrikin. Apabila mereka diberi keizinan untuk berhijrah, mereka menghadapi dugaan meninggalkan tanah air, harta benda, rumahtangga dan alat-alat kelengkapan masing-masing. Mereka meninggalkan segala-galanya untuk menyelamatkan agama.
Di Madinah, golongan Ansar telah menanti ketibaan mereka dan memberi segala pertolongan, keperluan dan kemudahan bagi memulakan kehidupan baru di Madinah. Golongan Ansar ini dengan penuh ikhlas menyambut kehadiran Muhajirin Makkah ke rumah masing-masing, memberi layanan dan pertolongan sewajibnya. Inilah contoh unggul Muslim sejati dalam mengaplikasi konsep ukhuwah Islamiyah yang menyeluruh dan saling cinta mencintai kerana Allah SWT semata-mata. Allah telah menjadikan persaudaraan dalam Islam lebih kuat dan erat daripada ikatan keturunan darah.
Firman Allah swt: (Yang bermaksud):
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Al-Hasyr: 9)

No comments:
Post a Comment